Kementerian Pembangunan Usahawan memberi bayangan dan harapan bahawa Bajet 2019 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November depan akan lebih memberi perhatian kepada usaha memajukan aktiviti keusahawanan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, sasaran kepada pembentangan bajet tahunan kali ini tidak akan bertumpu kepada aspek pengurusan seperti terdahulu tetapi sebaliknya akan lebih fokus kepada pembangunan memandangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar PKS telah mengatasi ekonomi keseluruhan secara konsisten sejak 14 tahun lalu.
“Harapan saya tinggi. Kita mahu Bajet 2019 nanti lebih bertumpu kepada pembangunan usahawan kerana tanggungjawab mengawal selia dan memudahcara mereka melalui agensi bukanlah sesuatu yang mudah.
“Walau bagaimanapun, ia terpulang kepada kerajaan dan jemaah menteri untuk menetapkan hala tuju kementerian ini bagi memberi galakan serta membantu pertumbuhan ekonomi dari sudut kewangan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pusat Sehenti Keusahawanan di SME Corp Platinum Sentral, hari ini.