Selepas kejayaan program Kohort ketiganya yang tamat pada Mac lepas, ScaleUp Malaysia mengumumkan pelancaran program kohort terbaharu dikenali sebagai Kohort 2022 yang akan bermula secara rasmi pada suku keempat tahun ini.
Peningkatan ketara dalam program kohort ScaleUp Malaysia kali ini adalah jumlah pelaburan untuk setiap syarikat pemula terpilih ditingkatkan kepada AS$100,000 (RM440,000), menjadikannya salah satu pelaburan terbesar daripada syarikat pemecut peniagaan di rantau Asia Tenggara.
Peserta juga akan menerima pelaburan daripada syarikat pemecut perniagaan tersebut sebelum mereka memulakan program kohort dan bukannya pada akhir program.
“Kami berasa sangat bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan beberapa syarikat pemula terbaik di rantau ini sepanjang pelaksanaan program tiga kohort sebelum ini,” kata Rakan Pengurusan ScaleUp Malaysia, Xelia Tong.
ScaleUp Malaysia telah mengumumkan pelaburan dalam 30 syarikat pemula yang menyertai kohort sebelum ini sejak program itu diperkenalkan pada 2020, termasuk dalam syarikat seperti Iimmpact, Fefifo, AOne, Homa dan Guruinnovatif.
Sebuah syarikat telah keluar daripada berada di bawah penyeliaan program tersebut dengan mendapat pelaburan susulan sehingga 15 kali dan syarikat-syarikat teratas yang lain juga berjaya mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 300 peratus sejak menyertai program tersebut.
“Kami menerima penyertaan syarikat pemula daripada pelbagai jenis industri atau bidang vertikal, asalkan mereka dapat membuktikan mempunyai produk yang mampu memenuhi keperluan pasaran, mempunyai pasaran besar dengan rancangan pemasaran yang menarik,” jelas seorang lagi Rakan Pengurusan Scaleup Malaysia, Andre Sequerah.
ScaleUp Malaysia bukan sahaja menerima penyertaan daripada syarikat pemula dari Malaysia tetapi juga seluruh dunia dengan merekodkan syarikat daripada 26 negara telah berjaya menyertai program kohort sebelum ini.
Pendaftaran untuk Kohort 2022 kini dibuka secara rasmi sehingga 31 Ogos 2022.
Untuk maklumat lanjut mengenai ScaleUp Malaysia dan mereka yang berminat untuk membuat permohonan, boleh melayari https://www.scaleup.my/cohort-2022.
-NIAGATIMES