Usaha yang sedang giat dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi merealisasikan teknologi mobiliti udara sewajarnya tidak diperlekeh kerana tanggapan umum yang menafsirkan ia sebagai kereta terbang selama ini terlebih dahulu perlu dibetulkan, kata Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata, istilah kereta terbang yang dimomokkan selama ini adalah tidak tepat kerana fungsi dan peranannya sebagai pesawat berlepas dan mendarat secara menegak tanpa pemandu (eVTOL) perlu dilihat dalam skala yang lebih meluas.
“Saya ubah konsep ini. Jangan dipanggil kereta terbang lagi. Kita sebutkan sahaja ia ‘super dron’ atau teknologi dron.
“Hal ini kerana teknologi ini lebih ke hadapan dan boleh dilaksanakan bersama-sama akses teknologi yang lain seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet untuk Segalanya (IoT) bagi kegunaan syarikat tempatan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Parlimen Malaysia, semalam.
Tambah Wan Junaidi, walaupun tiada sebarang pembiayaan disalurkan oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat swasta yang terlibat di dalam industri tersebut, kementeriannya sedia menyokong pihak terbabit dengan membuka peluang di samping membentuk persekitaran baharu bagi pembangunan teknologi dron di negara ini.
“MEDAC juga akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Pengangkutan untuk mewujudkan satu dasar yang boleh diterima pihak kerajaan supaya industri dron ini boleh dilaksanakan secara lebih baik. Ada ruang untuk eksperimen di udara, bukan hanya di makmal sahaja,” ujarnya.
-NIAGATIMES