SEDANIA pacu ekonomi gig melalui pembiayaan GoHalal bernilai RM2 bilion

SEDANIA As Salam Capital (SASC), anak syarikat kepada SEDANIA Innovator Berhad, terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju dalam bidang teknologi kewangan Islam melalui Program Pembiayaan GoHalal, dengan jumlah pembiayaan kumulatif hampir RM2 bilion disalurkan kepada komuniti ekonomi gig di seluruh negara.

Program itu direka bagi memperluas akses kewangan patuh Syariah kepada lebih tiga juta tenaga kerja gig Malaysia, sekali gus memperkukuh usaha ke arah inklusi kewangan yang adil dan beretika.

Inisiatif berkenaan turut membantu menstabilkan pendapatan serta memperkasa peniaga kecil dan individu bekerja sendiri dalam ekonomi digital yang pesat berkembang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SASC, Khairul Nisa Ismail, GoHalal bukan sekadar platform pembiayaan, sebaliknya satu ekosistem menyeluruh berlandaskan prinsip Syariah yang menyediakan akses modal secara telus dan bertanggungjawab.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa kewangan beretika mampu berkembang secara mampan sambil memacu pertumbuhan sosioekonomi jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Program berkenaan digerakkan melalui inovasi Meta Financing, iaitu gabungan teknologi digital, tadbir urus Syariah dan impak sosioekonomi yang membolehkan transaksi dilaksanakan secara automatik dan telus melalui platform As-Sidq Tawarruq milik SEDANIA.

Model ini menjadikan SEDANIA satu-satunya penyedia fintech Islam di Malaysia yang menggunakan masa siaran sebagai komoditi digital asas, membolehkan transaksi dilaksanakan 24 jam sehari dengan dokumentasi segera.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan SEDANIA Innovator Berhad, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata ekosistem GoHalal membantu menangani cabaran kewangan yang dihadapi tenaga kerja gig yang berdepan ketidaktentuan pendapatan.

“Akses kepada pembiayaan patuh Syariah yang bertanggungjawab menjadi pemangkin kepada ekonomi harian rakyat,” ujarnya.

Dengan asas digital yang kukuh serta tadbir urus Syariah yang diketuai oleh Profesor Dato’ Dr. Aznan Hasan, SEDANIA kini bersedia memperluas capaiannya ke pasaran serantau, memacu pertumbuhan fintech Islam secara mampan di Asia Tenggara.

-NIAGATIMES

SEDANIA-gambar-hiasan.jpg