Sektor ekonomi kembali rancak, talian usahawan catat 382,255 panggilan

Jumlah panggilan telefon bagi Talian Pusat Sehenti Keusahawanan yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mencatatkan peningkatan mendadak berikutan timbulnya kesungguhan daripada kalangan usahawan untuk memulihkan perniagaan masing-masing ketika ini, kata Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, faktor tersebut dipercayai akibat dorongan usahawan-usahawan yang mahu memanfaatkan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan seperti Kemudahan Bantuan Khas, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), moratorium penangguhan pembayaran balik pinjaman peribadi anggota kepada koperasi, penangguhan pembayaran balik pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) dan lain-lain bantuan.

“Jumlah panggilan meningkat mendadak sehingga 259,856 pertanyaan sejak 15 April sehingga 20 Julai. Ianya adalah respons daripada usahawan melalui 90 talian yang disediakan oleh agensi di bawah MEDAC seperti Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corporation Malaysia, Institut Koperasi Malaysia (IKM), SME Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional).

“Keseluruhan jumlah panggilan yang diterima dari bermulanya pandemik Covid-19 sehingga 20 Julai 2020 adalah sebanyak 382,255 panggilan.

“Daripada kesemua panggilan tersebut, 348,955 panggilan adalah kepada talian Bank Rakyat, 9,061 panggilan kepada talian SME Corp, 8,023 panggilan kepada MEDAC, 7,994 panggilan kepada TEKUN, 4,128 panggilan kepada SKM, 4,069 panggilan kepada SME Bank dan 28 panggilan kepada IKM,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Para usahawan yang berhasrat mengajukan pertanyaan atau ingin mendapatkan khidmat nasihat berhubung bantuan kerajaan turut boleh berbuat demikian dengan menghubungi nombor 1-300-88-1020, 03-8892 3430 atau 03-8892 3429 bermula 8 pagi hingga 5 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

PSK-MEDAC.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.