Sektor pelancongan catat penurunan 68.2 peratus pelancong asing

Walaupun Malaysia berjaya menarik seramai 13.3 juta pelancong antarabangsa dari bulan Januari hingga Jun 2019, situasi terkini akibat Covid-19 nampaknya telah mengubah landskap tersebut dengan ketibaan seramai 4,252,997 pelancong antarabangsa telah direkodkan bagi separuh tahun pertama tahun 2020 iaitu penurunan sebanyak 68.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menerusi satu kenyataan berkata, penurunan yang ketara bagi jumlah ketibaan pelancong dan pelawat harian ini adalah disebabkan oleh faktor penutupan pintu-pintu sempadan Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Kesan pandemik kepada sektor pelancongan turut dilihat di luar sempadan Malaysia, di mana negara-negara ASEAN lain juga merekodkan penurunan mendadak dari segi pencapaian pelancongan.

“Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia, juga mencatatkan pertumbuhan negatif disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan oleh kerajaan dalam usaha membendung penularan pandemik di negara masing-masing,” katanya.

Tambah Tourism Malaysia, impak Covid-19 turut memberi kesan kepada perbelanjaan pelancong serta pasaran utama negara ini yang masing-masing menunjukkan angka tidak begitu memberangsangkan.

“Perbelanjaan pelancong bagi separuh tahun pertama 2020 merekodkan RM12.5 billion, iaitu penurunan sebanyak 69.8 peratus berbanding RM41.6 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

“Perbelanjaan per kapita turut mencatat penurunan sebanyak 5.3 peratus dari RM3,121.60 pada tahun 2019 ke RM2,956.10 pada tahun ini.

“Sektor pelancongan negara telah merekodkan perkembangan negatif bagi setiap pasaran mengikut rantau iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-69.1 peratus), pasaran jarak sederhana (-69.0 peratus) dan pasaran jarak jauh (-58.8 peratus),” katanya.

-NIAGATIMES

Tioman-Gambar-hiasan.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.