Sektor pembinaan dijangka beralih kepada nilai tambah tinggi bermula 2026

Sektor pembinaan negara dijangka memasuki fasa baharu yang lebih bernilai tinggi bermula 2026, didorong oleh kemajuan projek infrastruktur utama, pengembangan sektor perindustrian serta peningkatan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan bangunan sedia ada, menurut Nippon Paint Malaysia.

Pengurus Besarnya, Tay Sze Tuck berkata landskap industri kini berubah daripada tumpuan kepada kerja pembinaan asas kepada keperluan kemasan, pematuhan piawaian serta prestasi jangka panjang bangunan dan kemudahan.

“Apabila projek infrastruktur besar menghampiri peringkat akhir dan bangunan semakin berusia, permintaan terhadap bahan dan sistem khusus yang tahan lama, selamat serta mampan akan terus meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan nilai kerja pembinaan yang siap meningkat 12.9 peratus pada suku kedua 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan momentum positif merentasi sektor infrastruktur, komersial dan kediaman.

Unjuran ekonomi turut menjangkakan sektor itu mampu berkembang sekitar enam peratus pada 2026, disokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurut Tay, projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Sistem Transit Rapid (RTS) kini memasuki fasa struktur akhir dan kemasan, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap bahan binaan khusus termasuk sistem kalis air, lantai industri, mortar drymix serta bahan pengedap dan pelekat yang berfungsi secara bersepadu.

Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM81 bilion bagi pembangunan awam turut mengukuhkan permintaan terhadap penyelesaian pembinaan yang dapat mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang dan menyokong pendekatan kos pemilikan keseluruhan.

Dalam segmen perindustrian pula, pertumbuhan fasiliti pembuatan, gudang dan logistik rantaian sejuk menjadikan pematuhan piawaian, keselamatan serta kebersihan sebagai keutamaan.

Tay berkata lantai industri kini dilihat sebagai komponen kritikal yang memberi kesan langsung kepada kelangsungan operasi dan keselamatan pekerja.

Selain itu, lebih separuh bangunan di Malaysia dianggarkan berusia lebih 20 tahun, sekali gus membuka ruang besar kepada aktiviti pembaikan semula. Pemilik bangunan kini cenderung memilih penyelesaian menyeluruh yang menangani punca kerosakan berbanding pembaikan sementara.

“Menyelesaikan masalah dari akar umbi bukan sahaja mengelakkan kegagalan berulang, malah memberi penjimatan jangka panjang kepada pemilik aset,” katanya.

Mengulas prospek 2026, Tay menyifatkan tahun ini sebagai tempoh pertumbuhan yang stabil dan seimbang, dengan tumpuan kepada kualiti, ketahanan dan kecekapan sepanjang kitar hayat pembinaan.

-NIAGATIMES

FOTO-CIDB.jpg