Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) telah mengadakan pertemuan dengan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) bagi membincangkan langkah dan usaha MTC untuk terus mengukuhkan kedudukan industri perkayuan yang merupakan antara penyumbang utama kepada eksport komoditi negara.
KPKK dalam satu kenyataan berkata, kerajaan melalui KPPK telah menyediakan pinjaman sebanyak RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi Rancangan Malaysia Ke-12.
“Usaha membangunkan ladang hutan di bawah PPLH ini merupakan usaha kerajaan bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan pada masa hadapan.
“Sebagai agensi berkaitan, MTC akan memperuntukkan sebanyak RM5.4 juta untuk Program Bantuan Import dan sebanyak RM2.8 juta bagi Insentif Kewangan Untuk Pembelian Mesin (FIPM) pada tahun hadapan berbanding RM2.56 juta yang disalurkan kepada 81 syarikat pada tahun ini,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, usaha merancakkan penglibatan bumiputera untuk lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa dalam sektor perkayuan di bawah Program Pembangunan dan Pemerkasaan Industri Bumiputera akan dilaksanakan dengan MTC bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta persatuan industri sedang merancang program pembangunan untuk meningkatkan keupayaan mereka.
“KPPK yakin bahawa industri perkayuan akan terus berkembang dan memberi kemakmuran kepada negara dengan pelbagai insentif dan peruntukan yang disediakan Kementerian melalui agensi dan majlis di bawahnya.
“KPPK juga berharap agar penglibatan pemain industri dan sokongan persatuan industri perkayuan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan hasrat kerajaan untuk memastikan industri ini terus dipacu demi kesinambungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
-NIAGATIMES