Seminar & Pameran Pemindahan Teknologi MPOB

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan Seminar & Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2022 pada 28 Jun ini.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB akan memperkenalkan teknologi baharu dalam industri sawit yang dibangunkan oleh penyelidiknya.

Beliau berkata MPOB menawarkan teknologi dalam industri sawit yang mempunyai potensi dan nilai pengkomersialan untuk dimanfaatkan oleh penggiat industri dan usahawan tempatan.

TOT ialah acara seminar dan pameran tahunan MPOB yang bertujuan untuk menghebahkan penemuan penyelidikan dan pengkomersialan teknologi terkini MPOB kepada usahawan tempatan dan pihak yang berminat untuk meneroka peluang perniagaan berasaskan teknologi dalam industri sawit.

Jelas Parveez, TOT 2022 akan membuka peluang perniagaan kepada usahawan industri kecil dan sederhana melalui pengkomersialan teknologi yang ditawarkan MPOB.

Menurutnya, TOT 2022 turut memberi peluang perniagaan kepada pekebun kecil, profesional dalam bidang kejuruteraan, saintis, penyelidik, ahli teknologi makanan, ahli kimia, pengilang dan pengeluar serta mereka yang terlibat dalam industri sawit.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran TOT 2022, sila layari laman sesawang MPOB www.mpob.gov.my.

-NIAGATIMES

TOT2022.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.