Seminar Usahawan MADANI fokus bangunkan produk dan servis kepada 275 usahawan

Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) terus memperkasa 275 usahawan menerusi inisiatif Seminar Usahawan MADANI: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) yang telah diadakan di MARDICorp Academy Serdang.

Melalui seminar ini, para usahawan diberi peluang untuk mendalami kaedah pembangunan produk dan servis yang berkesan, sekaligus mempersiapkan mereka menembusi pasaran baharu dan meningkatkan prestasi jualan.

Pendedahan ini disampaikan menerusi lima modul utama yang dirangka khusus untuk membina asas yang kukuh merangkumi Analisa Pasaran, Prototaip, Validasi, Pengeluaran (termasuk penyumberan, pengiraan kos & perletakan harga) serta Pengkomersialan.

Pendekatan menyeluruh ini membolehkan usahawan memahami keseluruhan rantaian proses yang terlibat dalam menghasilkan produk dan servis yang bukan sahaja berkualiti, tetapi juga berdaya saing dan mampan di pasaran.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Tuan Haji Mustaffa Kamil bin Ayub berkata, seminar yang diadakan bukan sekadar teori semata-mata. Ia turut menyediakan platform praktikal di mana seramai 30 usahawan terpilih menjalani sesi penilaian produk dan servis secara langsung bersama coach serta pemain industri, bagi mendapatkan maklum balas terus terhadap potensi dan penambahbaikan produk mereka.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan penglibatan lebih banyak rakan kolaborasi dari sektor kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan untuk terus bersama menjayakan program pembangunan keusahawanan seperti SUM:PPS demi manfaat lebih meluas kepada komuniti usahawan di seluruh negara.

Penganjuran SUM:PPS setakat ini telah berjaya menarik penyertaan lebih 3,000 peserta dari seluruh negara menerusi 7 siri seminar yang telah dilaksanakan. Bagi tahun 2025, INSKEN menyasarkan pelaksanaan seminar ini di 15 lokasi strategik di seluruh negara, sekali gus memperluas akses bimbingan dan pendedahan kepada lebih ramai usahawan yang berpotensi untuk berkembang.

-NIAGATIMES

Foto-1.jpg