Platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee mengumumkan bahawa Iklan Facebook atau Facebook Ads kini tersedia secara rasmi di Pusat Penjual Shopee di Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Menurut Shopee, inisiatif tersebut dilihat berupaya memperkasakan komuniti terbesar di rantau ini dengan lebih 20 juta penjual menerusi alatan baharu untuk mengembangkan perniagaan mereka.
โDengan 95 peratus pengguna Shopee bergantung pada Facebook dan Instagram untuk menemui jenama dan produk baharu, integrasi ini membolehkan para penjual meningkatkan kehadiran dalam talian mereka dengan memanfaatkan saluran Facebook, Instagram dan Audience Network demi membantu membawa trafik ke kedai Shopee rasmi mereka.
โFacebook Ads turut membolehkan pemperibadian yang lebih lagi bagi iklan yang disiarkan berdasarkan pilihan dan tingkah laku pengguna di platform, sekali gus menggalakkan pembelian dan memaksimumkan pertumbuhan jualan,โ katanya dalam satu kenyataan.
Facebook Ads di Pusat Penjual Shopee adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Shopee untuk menyokong perniagaan-perniagaan tidak kira besar atau kecil untuk berkembang dalam talian.
Pusat Penjual Shopee menawarkan sebuah platform sehenti untuk membantu para penjual mengurus kedai secara mudah, memberikan akses kepada rangkaian alat pemasaran dan data yang lengkap untuk membuat penyenaraian serta menjalankan promosi dan mengoptimumkan prestasi perniagaan dalam talian.
Sementara itu, Ketua Kempen Pemasaran di Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, kerjasama bersama Meta untuk melancarkan Facebook Ads di Pusat Penjual Shopee akan memberi impak yang besar kepada para penjual kami secara positif.
โKami akan terus mengembangkan ekosistem kami menerusi lebih banyak kerjasama utama seperti kerjasama kami bersama Meta. Ini adalah untuk terus menyokong para penjual kami dengan lebih banyak peluang agar mereka dapat menambah baik perniagaan dan meningkatkan kemahiran secara digital,โ ujarnya.
-NIAGATIMES