Shopee: Data pembelian barangan penjagaan diri rakyat Malaysia meningkat

Data Shopee Malaysia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini lebih menyesuaikan diri untuk merasakan kegembiraan dan menunjukkan penghargaan kepada diri mereka sendiri dalam dunia pasca pandemik.

Shopee dalam satu kenyataan hari ini berkata, lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan keperluan penjagaan diri mereka di atas talian, berdasarkan data beli-belah yang diperhatikan oleh Shopee Malaysia.

“Sejak pandemik bermula, permintaan untuk produk yang membantu para pembeli meningkatkan kesejahteraan hidup mereka, memberi ganjaran kepada diri mereka sendiri serta mengurangkan tekanan telah meningkat sebanyak enam kali ganda di platform tersebut.

“Bagi tahun 2021, Shopee mendapati bahawa kesejahteraan fizikal dan persekitaran berada di antara keperluan utama rakyat Malaysia apabila membeli-belah di atas talian. Khususnya, 42 peratus daripada produk yang dibeli tertumpu pada kesihatan fizikal, 26 peratus pada kesejahteraan persekitaran, 25 peratus pada kesejahteraan sosial, dengan selebihnya untuk kesejahteraan psikologi dan rohani,” jelasnya.

Tambah Shopee, rakyat Malaysia menunjukkan minat sebanyak lebih enam kali ganda untuk membeli barangan yang berkaitan dengan pemakanan sihat, senaman, dandanan diri, dan kebersihan diri berbanding tahun 2019.

“Barangan dandanan diri adalah subkategori paling popular untuk penjagaan diri secara fizikal, dengan kira-kira satu pertiga daripadanya terdiri daripada produk penjagaan kulit seperti topeng muka, skrub muka, alat solek, minyak muka, pati dan serum,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kempen Pemasaran di Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, hasil daripada data ini menunjukkan cara yang digemari rakyat Malaysia untuk menjaga kesejahteraan mereka telah berkembang sejak dua tahun lepas.

“Respons ini menandakan peningkatan peluang baharu bagi aspek penemuan diri dan pertumbuhan peribadi. Kami berbesar hati kerana dapat menyokong rakyat Malaysia di setiap langkah, demi membantu mereka menemui apa yang mereka perlukan,” ujarnya.

-NIAGATIMES

shopee.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.