Siemens, BioNTech perluas kerjasama hasilkan vaksin di peringkat global

Syarikat bioteknologi Jerman, BioNTech SE yang beribu pejabat di Mainz dan Siemens berhasrat untuk meluaskan kerjasama strategik dengan meningkatkan usaha sama bagi memperbesar dan membangunkan kapasiti pengeluaran vaksin Covid-19 dengan pesat.

Siemens berkata, BioNTech telah mengumumkan rancangannya untuk mendirikan pusat pengeluaran bagi menghasilkan vaksin Covid-19 di seluruh dunia, bermula dengan sebuah kemudahan pengeluaran di Singapura, berdasarkan teknologi dan kilang sedia ada miliknya di Marburg.

“Sebelum ini, BioNTech dengan sokongan Siemens berjaya menukar sebuah kemudahan pengeluaran miliknya di Marburg kepada sebuah pusat penghasilan vaksin dalam tempoh lima bulan sahaja.

“Menerusi kerjasama ini, Siemens akan membekalkan teknologi digitalisasi dan automasi terkini seperti reka bentuk, simulasi, dan perisian kejuruteraan serta teknologi kawalan proses untuk pusat pengeluaran BioNTech,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Industries merangkap Ahli Lembaga Siemens AG, Cedrik Neike berkata, kerjasama Siemens dan BioNTech tidak asing lagi, malah telah bertahan selama bertahun-tahun.

“Teknologi dan kepakaran kami yang telah teruji berjaya membantu mereka untuk menukar kemudahan pengeluaran mereka dalam tempoh lima bulan sahaja berbanding setahun.

“Sekarang, kami ingin memindahkan kejayaan ini kepada pusat-pusat pengeluaran lain bagi memastikan vaksin Covid-19 boleh dibekalkan ke seluruh dunia dengan segera,” ujarnya.

BioNTech ialah antara syarikat pertama bersama Pfizer yang memperkenalkan vaksin baru mRNA ke dalam pasaran.

-NIAGATIMES

Siemens-Siemens-x-BioNTech.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.