Singapura sedia bantu pasarkan perabot PKS Sarawak

Singapura telah membayangkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak dalam memasarkan perabot mereka di pasaran global, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, berkata perkara itu dimaklumkan semasa pertemuan beliau dengan Menteri Kanan Negara bagi Perdagangan dan Industri Singapura serta Presiden Majlis Industri Perabot Singapura.

“KIta patut memanfaatkan kedudukan Singapura sebagai pintu masuk ke pasaran lebih besar,” katanya dalam ucapan pada program Hari Eksport Sarawak 2019 di Kuching, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Awang Tengah, yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, menggesa semua PKS di negeri itu untuk merebut peluang itu, dan menurutnya selain kementeriannya, terdapat banyak agensi kerajaan yang lain yang dapat memberikan bantuan.

“Jangan ragu-ragu untuk menghubungi agensi seperti MARA, FAMA, SEDC, SIRIM dan lainnya untuk menghasilkan produk berkualiti lebih baik, manakala MITI, MATRADE, MIDA dan Exim Bank dapat membantu memudahkan aktiviti eksport anda,” katanya. – BERNAMA

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.