Kementerian Pembangunan Usahawan berhasrat meneruskan siri jelajah Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera (KUB) pada masa akan datang sebagai usaha untuk terus mendekati golongan usahawan di samping memastikan perkembangan perniagaan mereka bertambah baik.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, pelbagai respons dan sumbangan idea telah dikemukakan oleh usahawan-usahawan pelbagai sektor yang hadir sepanjang KUB berlangsung di 12 lokasi seluruh Malaysia untuk menambah baik hala tuju keusahawanan negara.
“Adalah terlalu awal untuk mengukur hasil sebenar jelajah ini tetapi kita telah mendapatkan banyak maklumat daripada progam ini.
“Kita akan mengadakan sesi jelajah ini sekali lagi untuk mendapatkan maklum balas langsung terutamanya daripada peserta yang mengemukakan persoalan tertentu sama ada masalah mereka telah dapat diselesaikan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KUB di Pusat Konvensyen Casa Lagenda Seremban, baru-baru ini.