Siri seminar SUM: e-invois berakhir di Selangor, lebih 800 usahawan raih manfaat

Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) melaksanakan Seminar Usahawan Madani: e-Invois (SUM: e-Invois) yang ketiga hari ini, iaitu sesi terakhir bagi tahun 2025. Selepas Sabah dan Sarawak, Selangor menjadi lokasi pelaksanaan seminar ini yang secara keseluruhannya memberi manfaat kepada lebih 800 usahawan dari ketiga-tiga negeri tersebut.

Penekanan terhadap topik e-Invois ini bertujuan memberi pendedahan awal serta meningkatkan kesedaran mengenai pelaksanaan sistem e-Invois oleh kerajaan yang wajib dipatuhi.

Seminar satu hari ini memberi fokus kepada pelbagai topik penting seperti Pengenalan kepada e-invois, Senario dan Jenis e-invois serta Pelaksanaan e-invois yang terbahagi kepada Persediaan dan Aliran Kerja e-invois.

Kesemua topik ini dirangka bagi membantu usahawan menguasai pengetahuan asas dan kemahiran praktikal untuk melaksanakan sistem e-invois dengan berkesan, selaras dengan keperluan pematuhan yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni, penerapan sistem e-invois merupakan satu perubahan besar dalam landskap keusahawanan negara.

“INSKEN mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan siri SUM: e-Invois bagi membantu usahawan memahami dan bersedia untuk menggunakan sistem ini. Dengan lebih 800 usahawan terlibat, kami yakin impak positif akan dapat dilihat dalam tahap pematuhan dan kecekapan operasi perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain seminar, program ini turut menyediakan reruai agensi yang menyalurkan pelbagai maklumat berkaitan keusahawanan kepada para peserta. INSKEN juga mengambil inisiatif membuka reruai khas bagi membantu usahawan mendapatkan penerangan lanjut mengenai program-program keusahawanan yang boleh disertai selepas tamatnya SUM: e-Invois ini.

Pelaksanaan SUM: e-Invois hari ini merupakan hasil kolaborasi bersama TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera(PERHEBAT), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

-NIAGATIMES

gambar-hiasan-kredit-Prowrench-Auto.jpg