Ikon usahawan selebriti tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegaskan bahawa dirinya sentiasa bersedia memberikan komitmen tinggi dalam menguruskan perniagaan meskipun berdepan kegusaran cabaran ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
Berdiri teguh mengendalikan pelbagai cabang bisnes seperti rangkaian produk kecantikan dan kesihatan di bawah jenama SimplySiti serta koleksi busana Creacion by Siti Nurhaliza, beliau sebaliknya cenderung menganggap situasi mencabar ini sebagai perkara yang memberi hikmah.
โWalaupun ada kesan negatif, tetapi di sebaliknya ada kesan positif juga. Sekarang ini, ramai orang sudah mula membuka mata kepada perniagaan e-dagang. Dan saya sendiri pun sekarang ini apabila di rumah, tahu rupa-rupanya banyak yang saya boleh buat sebenarnya,โ katanya pada sesi temu bual eksklusif Bicara Usahawan Bersama NiagaTimes, baru-baru ini.
Beliau memberi contoh antara pendekatan strategi bisnesnya melalui online kini adalah dengan memanfaatkan platform Instagram dan Facebook miliknya. Menurut Siti Nurhaliza, ia juga secara tidak langsung lebih mendekatkan dirinya untuk berkomunikasi dengan pengguna-pengguna produknya.
โDalam tempoh seminggu, biasanya dua atau tiga kali saya akan mempromosikan produk saya di media sosial. Selain itu, ada juga sesi seperti tutorial mekap, cara-cara menggunakan produk saya serta penerangan tentang kelebihan produk saya.
โWalaupun dugaan yang Allah berikan kepada kita di seluruh dunia, tapi dari sudut yang positif kita kena tengok juga. Banyak yang boleh membuatkan diri kita mahir dalam sudut yang berbeza,โ ujarnya.
Pada masa yang sama, Siti Nurhaliza turut menasihatkan golongan usahawan di negara ini supaya sentiasa cekal dan positif berdepan cabaran Covid-19 agar perniagaan mereka kekal stabil malah berupaya menjadi lebih baik sebaik sahaja pandemik ini berakhir kelak.
โSaya doakan semoga anda para usahawan diberikan ketabahan dan kekuatan untuk meneruskan perniagaan. Jangan mudah putus asa walaupun ini adalah cabaran yang sangat besar. Saya akui, saya hadapi dan saya selalu positifkan diri,โ katanya.
Ikuti temu bual penuh Bicara Usahawan NiagaTimes-Siti Nurhaliza di laman Facebook dan Instagram NiagaTimes, Niaga TV serta saluran YouTube NiagaTimes TV.