Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerima permohonan pembiayaan berjumlah RM52 juta menerusi Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) sepanjang bulan Ramadan tahun ini, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan daripada usahawan mikro di seluruh negara.
Kementerian itu memaklumkan bahawa sehingga 16 Mac 2026, sebanyak 6,044 permohonan telah diterima di bawah skim berkenaan, dengan 5,590 daripadanya diluluskan melibatkan jumlah pembiayaan sekitar RM35 juta.
Skim BARAKAT yang diperkenalkan sebagai inisiatif pembiayaan jangka pendek itu bertujuan membantu usahawan mendapatkan modal pusingan bagi menampung kos operasi serta memenuhi peningkatan permintaan perniagaan sepanjang musim perayaan.
Inisiatif berkenaan dilancarkan pada 5 Februari lalu oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong. Sejak pelancarannya, skim tersebut dilihat memberi impak positif khususnya kepada perusahaan mikro yang memerlukan akses pembiayaan segera bagi menyokong aktiviti perniagaan menjelang Aidilfitri.
Steven Sim berkata, pelaksanaan skim tersebut turut mencerminkan komitmen kerajaan untuk mempercepat proses birokrasi dan memudahkan akses kepada sumber modal bagi komuniti usahawan.
“Usaha itu juga selari dengan Strategi A.B.C.D KUSKOP yang memberi penekanan kepada empat teras utama iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal serta Daya Akses kepada Pasaran,” ujarnya.
KUSKOP menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh serta menambah baik mekanisme penyampaian skim pembiayaan sedia ada bagi memastikan lebih ramai usahawan dapat memanfaatkan kemudahan tersebut, sekali gus meningkatkan daya tahan ekonomi negara secara keseluruhan.
-NIAGATIMES






















































