Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus mempergiat usaha memperkasa sektor koperasi negara dengan membantu koperasi tempatan menembusi pasaran antarabangsa melalui penyertaan dalam pameran perdagangan makanan terbesar dunia, GULFOOD Dubai 2026.
Inisiatif itu selaras dengan naratif nasional ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’ yang menekankan peningkatan daya saing perusahaan tempatan di peringkat global.
Antara koperasi yang mengambil bahagian ialah Koperasi Penternak Burung Walit Malaysia Berhad (KOWALIT), yang mempamerkan produk sarang burung walit premium bagi memperkenalkan produk tempatan kepada pembeli antarabangsa, khususnya dari rantau Timur Tengah.
Pengerusinya, Ng Siew Lai berkata sokongan SKM memberi keyakinan kepada koperasi untuk meneroka pasaran baharu selain mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tradisional.
“Kita tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada pasaran China kerana persaingan semakin sengit dan harga menjadi kurang kompetitif. SKM memberi dorongan kepada koperasi untuk berani meneroka pasaran lain,” katanya.
Menurut beliau, penyertaan dalam GULFOOD membuka ruang kepada koperasi untuk membina jaringan strategik dengan pembeli luar negara selain menilai penerimaan pasaran terhadap produk sarang burung walit Malaysia.
Katanya, produk yang dipamerkan menerima maklum balas positif daripada beberapa bakal pelanggan antarabangsa yang menunjukkan minat terhadap kualiti dan potensi produk tersebut.
Dalam pada itu, SKM memaklumkan bahawa usaha membawa koperasi ke platform perdagangan global merupakan sebahagian strategi yang dipergiat sejak 2025, termasuk penyertaan dalam pameran makanan antarabangsa seperti Foodex Japan.
Selain memudah cara penyertaan pameran, SKM turut membantu koperasi mendapatkan pensijilan antarabangsa seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP), Halal dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi piawaian global.
Ng berkata pematuhan terhadap standard antarabangsa merupakan antara syarat penting untuk menembusi pasaran eksport.
“Setiap negara mempunyai keperluan dan piawaian tersendiri. Jika ingin memasuki pasaran antarabangsa, produk mesti mematuhi sepenuhnya standard tersebut. Kita juga mempunyai pasukan kawalan kualiti bagi memastikan semua keperluan dipenuhi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa model koperasi yang menghimpunkan ramai anggota memberi kelebihan dari segi ekonomi skala, sekali gus membolehkan koperasi memenuhi tempahan berskala besar daripada pembeli luar negara.
Penyertaan dalam GULFOOD juga dilihat sebagai langkah strategik jangka panjang bagi memperluas kehadiran produk koperasi Malaysia di pasaran antarabangsa.
Dengan sokongan berterusan SKM serta kesediaan koperasi meneroka peluang baharu, sektor koperasi negara dijangka terus memainkan peranan penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperluaskan penembusan produk tempatan ke peringkat global.
Usaha tersebut turut dilihat selari dengan agenda ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’ yang diterajui Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, yang menekankan pengukuhan kapasiti perniagaan tempatan melalui tindakan dan program pembangunan di peringkat lapangan.
Malah, momentum tersebut akan diteruskan apabila tiga koperasi tempatan dijadual menyertai pameran Foodex Japan 2026 di Tokyo pada pertengahan bulan ini bagi memperluaskan lagi jaringan perdagangan antarabangsa.
-NIAGATIMES






















































