Seramai 85 orang usahawan mikro di Lawas, Sarawak telah mendapat manfaat daripada kemudahan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) yang ditawarkan oleh Agrobank dengan nilai pembiayaan sebanyak RM2.02 juta setakat 30 September 2021.
Pengumuman ini dibuat pada majlis penyerahan replika cek dana SKMS kepada penerima dana bersempena lawatan rasmi Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke Lawas, semalam.
Di majlis yang sama, Ketua Menteri Sarawak turut menyaksikan penyerahan replika cek dana Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) bernilai RM45 juta oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED), Dzulkornain Masron kepada Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar, sebagai simbolik kerjasama strategik yang terjalin di antara kerajaan negeri Sarawak dan Agrobank.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Khadijah berkata, โSejak dari awal penubuhan Agrobank, negeri Sarawak sentiasa menjadi fokus utama perniagaan kami dan Agrobank akan terus komited untuk memperkasakan kumpulan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak menerusi pelbagai program pembiayaan mikro berstruktur kami.
โBerdasarkan jumlah pelanggan yang telah kami berikan perkhidmatan di Sarawak, jelas terbukti, bahawa aktiviti ekonomi di negeri ini terus rancak, dan melalui program kerjasama strategik seperti ini, nyata akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan agro serta ekosistemnya untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini.
โInisiatif kerajaan negeri Sarawak ini adalah tepat pada masanya untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana di Sarawak terutamanya yang terjejas oleh Covid-19,โ katanya.
SKMS merupakan inisiatif kerajaan negeri Sarawak untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana di kalangan kumpulan B40 dan hanya memerlukan dokumentasi yang minimum.
Ia adalah satu skim untuk menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pembiayaan mudah kepada kumpulan B40, pemilik perniagaan mikro dan kecil yang mempunyai akses terhad kepada sumber modal tradisional, seperti bank-bank komersial dan institusi kewangan lain.
-NIAGATIMES