Ketangkasan menyesuaikan diri dan bertindak balas dengan pantas terhadap persekitaran yang sentiasa berubah-ubah telah membolehkan SME Bank menambahkan jumlah asetnya menjadi RM11.4 bilion dan mencatatkan peningkatan portfolio pembiayaan kasarnya sebanyak 8.3 peratus kepada RM8 bilion semasa Tahun Kewangan 2021.
Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff berkata, hasil disiplin kewangan yang kukuh, pendekatan pengurusan risiko yang mantap, serta kedudukan modal yang teguh membolehkan bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) sebanyak RM55.3 juta pada 2021 mengatasi sasaran RM28.4 juta.
“Pada 2021, SME Bank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM3.5 bilion yang telah memanfaatkan 1,825 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Daripada jumlah pembiayaan yang diluluskan, 46.4 peratus adalah untuk perniagaan bersaiz kecil dan 35.2 peratus adalah untuk perniagaan bersaiz sederhana. Baki selebihnya sebanyak 8.4 peratus dan 10.0 peratus adalah untuk perusahaan mikro dan perusahaan besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berkata, walaupun berhadapan cabaran yang tidak pernah dilalui sebelum ini dan persekitaran perniagaan yang sukar, SME Bank terus berkembang pada tahun 2021 dan menunjukkan keupayaannya dalam memaksimumkan penggunaan sumber tenaga dan modal insan untuk bertindak balas dan memenuhi keperluan segera para pelanggan.
“Tiga sektor teratas yang menerima pembiayaan ialah sektor pemborongan dan dagangan runcit, dan restoran dan hotel pada kadar 27.5 peratus manakala sektor pembinaan dan pembuatan masing-masing pada kadar 17.0 peratus.
“Secara khusus, tahun 2021 menyaksikan bank meluluskan lebih RM400 juta daripada pakej rangsangan PENJANA yang diumumkan Kerajaan yang merangkumi Skim SME Go, Geran Padanan PEMERKASA dan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) untuk membantu PKS yang terjejas akibat pandemik,” ujarnya.
-NIAGATIMES