Seiring dengan pengumuman bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) oleh Perdana Menteri, SME Bank menyambut baik langkah kerajaan dalam menangani impak ke atas para usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) ini.
SME Bank komited untuk terus membantu para pelanggan yang terjejas dengan pengurangan pembiayaan serta penawaran lanjutan moratorium bersasar kepada pelanggannya yang layak untuk membantu mereka menghadapi cabaran PKP 3.0.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, pihaknya telah menjadi bank pembangunan pertama yang menawarkan SME Relief Program (SRP), pelan bantuan pembayaran bersasar yang mesra pelanggan sejak dari PKP 1.0.
โMelihat kepada persekitaran ekonomi yang kekal mencabar, SME Bank seterusnya mengambil pendekatan proaktif dengan melancarkan SRP 2.0 di mana bantuan pembayaran bersasar ini dipanjangkan sehingga 30 September 2021.
โDi bawah SRP, SME Bank telah membantu 3,084 orang pelanggan yang layak dengan nilai pembiayaan berjumlah RM4.1 bilion,โ katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Aria, SME Bank juga telah menggunakan kesemua peruntukkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) dan meluluskan pembiayaan bernilai RM150 juta sejak ia mula ditawarkan pada tahun lepas.
โUntuk PEMERKASA+, SME Bank akan mengemukakan permohonan penambahan dana sebanyak RM200 juta kepada BNM.
โSelain TRRF, SME Bank juga akan terus menyediakan skim pembiayaan SME Go PEMERKASA+ yang merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi khusus untuk membantu kontraktor (G2-G4) yang telah ditawarkan kontrak oleh Kementerian, Jabatan atau Agensi Kerajaan Pusat atau Negeri,โ ujarnya.
Aria turut memaklumkan bahawa SME Bank telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan pengecualian dan pengurangan bayaran sewa kepada penyewa di Kompleks Premis Usahawan (EPC) serta di ibu pejabat SME Bank.
โBagi menyokong PEMERKASA+, pihak bank bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran sewa 100 peratus selama tujuh bulan lagi bermula dari Jun 2021 hingga Disember 2021.
โIni adalah untuk meringankan beban yang dihadapi oleh penyewa kami dan membolehkan usahawan mempersiapkan aliran tunai yang cukup untuk merancakkan semula operasi mereka selepas PKP 3.0,โ katanya.
-NIAGATIMES