SME Bank, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan telah merancakkan sektor pelancongan negara dengan melancarkan Tabung Khas Pelancongan (SFT3) melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Meritus Pelangi Beach Resort & Spa Langkawi, baru-baru ini. Dana SFT3 berjumlah RM500 juta tersebut telah diumumkan oleh kerajaan sewaktu pembentangan Bajet 2019.

Pembiayaan SFT3 ini boleh digunakan untuk projek-projek pelancongan yang dipromosikan oleh kerajaan, membina atau menaik taraf bangunan-bangunan pelancongan dan bersejarah, perkhidmatan pengangkutan, pembinaan resort dan menyediakan produk atau perkhidmatan berasaskan pelancongan serta pengambilalihan perniagaan atau aset pelancongan termasuk penebusan pembiayaan. Selain daripada itu, SFT3 juga telah memasukkan industri kraftangan dan inap desa ke dalam senarai perniagaan yang layak untuk memohon pembiayaan.

Untuk memastikan SFT3 lebih menarik dan mencapai matlamatnya, kerajaan turut memberi subsidi tambahan sebanyak 2 peratus daripada kadar keuntungan yang dikenakan bagi membantu mengurangkan kos perniagaan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana sektor pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Dana ini telah mula disalurkan sejak dari tahun 2002 lagi melalui Tabung Khas Pelancongan dan setakat 31 Disember 2018, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai RM2 bilion kepada 478 syarikat.”

SME Bank SFT3.jpg