SME Bank optimis dasar monetari pastikan pertumbuhan mampan

Memelihara kestabilan kewangan negara kekal menjadi keutamaan Bank Negara Malaysia (BNM) berikutan keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2 peratus selepas hampir dua tahun berada pada kadar terendah 1.75 peratus sejak Julai 2020.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berpendapat, BNM memberi tumpuan untuk memastikan dasar monetari kekal akomodatif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Ini terutamanya melihat kepada kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang berdaya tahan yang membolehkan ekonomi menghadapi sebarang kejutan luaran.

“Memandangkan ekonomi domestik berkembang pada landasan yang lebih kukuh, kami menjangkakan tahap akomodasi monetari akan dikurangkan secara berhati-hati dan beransur-ansur, terutamanya dalam persekitaran kestabilan harga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Risiko Kumpulan SME Bank, Mohammad Azam Ahmad, yang menyelia kredit, pasaran, mudah tunai dan pengurusan operasi risiko berkata, melalui pelbagai usaha yang dijalankan oleh kerajaan untuk memulihkan ekonomi ketika negara memasuki tahap endemik, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5 peratus pada suku pertama (S1 2022) berbanding 3.6 peratus pada suku keempat 2021 (S4 2021).

“Ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik kerana aktiviti ekonomi terus pulih seiring dengan pelonggaran langkah pembendungan serta pertumbuhan eksport yang kukuh.

“Peningkatan itu juga mencerminkan pemulihan dalam pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1 peratus (S4 2021: 4.3 peratus), didorong oleh penyertaan buruh dan prospek pendapatan yang lebih baik.

“Aktiviti ekonomi dijangka bertambah kukuh apabila kesan positif peralihan kepada fasa endemik terus dialami oleh semua sektor ekonomi, terutamanya dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

“Daripada segi penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan terus memacu pertumbuhan ekonomi, masing-masing berkembang sebanyak 6.5 peratus dan 6.6 peratus,” ujarnya.

-NIAGATIMES

SME-Bank.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.