SME Bank telah menambah baik agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaannya sejak pembentukan Pelan Hala Tuju Kemampanan Tiga Tahun 2021-2023 (Pelan hala tuju) dan kejayaan menerbitkan Sukuk Kelestarian pertama bernilai RM500 juta juga pada tahun 2021.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berkata, pelan hala tuju ini menggariskan objektif jangka pendek dan matlamat jangka panjang SME Bank serta komitmen untuk menyelitkan DNA ESG ke dalam operasi perniagaannya.
“Ia dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Permulaan ESG & Memperkemas Fokus Perniagaan, Pelaksanaan ESG & Memperkemas Fokus Bukan Perniagaan serta Adaptasi ESG & Peningkatan Berterusan menuju Kemampanan.
“Memasuki tahun kedua pelaksanaan pelan hala tuju ini, tumpuan dialihkan untuk menginstitusikan budaya ESG di seluruh Bank dan mewujudkan kesedaran ESG secara maksimum dengan pelanggan dan menetapkan Rangka Kerja Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang komprehensif dan tersendiri.
“Pembangunan Rangka Kerja SDG ini melibatkan beberapa perkara penting seperti penilaian materialiti antara pihak berkepentingan SME Bank, mengenal pasti jurang dan menyelaraskan strategi SME Bank dengan matlamat ESG,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Antara aktiviti-aktiviti ESG yang telah diadakan ialah Kempen Derma Darah di mana sebanyak 56 beg darah telah berjaya didermakan oleh staf Bank dan orang awam di Menara SME Bank pada 17 Jun 2022.
SME Bank dan Kelab Sukan dan Rekreasi SME Bank juga telah kolaborasi bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang dan menanam 1,300 batang pokok paya bakau Hutan Simpan Balik Pulau pada 25 Jun 2022.
Untuk terbitan Sukuk Kelestarian, SME Bank merupakan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) pertama menerbitkan Sukuk ini dan telah diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa.
-NIAGATIMES