SME Bank telah memperuntukkan dana fasilitasi bernilai RM1.24 juta kepada 249 orang peserta Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti.
Program tanggungjawab korporat yang dirangka secara strategik untuk merapatkan jurang peluang bagi mewujudkan impak ekonomi yang mampan dalam kalangan usahawan B40. Program ini menawarkan kemahiran, alatan dan sokongan yang diperlukan untuk para peserta menubuhkan dan mengekalkan perniagaan mereka dengan jayanya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, program berkenaan telah memberi impak yang besar untuk mengukuhkan dan membangunkan perniagaan kumpulan sasar, bukan sahaja semasa pandemik, tetapi juga untuk bergerak ke hadapan.
“Inisiatif seperti ini juga selaras dengan misi KUSKOP untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif untuk menyokong pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan.
“Kerajaan menyokong penuh program ini kerana ia berfungsi sebagai platform untuk mencetuskan transformasi positif dan bertindak sebagai pemangkin untuk memastikan daya tahan perniagaan para peserta. Kesimpulannya, kejayaan ini memainkan peranan penting dalam memartabatkan kemakmuran ekonomi masyarakat setempat,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Aria Putera Ismail mengulas, program ini bermula sebagai tindak balas pantas untuk membantu usahawan PMKS semasa pandemik pada tahun 2020.
“Kini, SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti telah pun memanfaatkan lebih 700 orang usahawan mikro B40 dan lebih RM4.6 juta telah diperuntukkan bagi tujuan dana fasilitasi dan program bimbingan keusahawanan.
“Komitmen kami adalah untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, dan program iTEKAD Penjana Komuniti direka khusus untuk memperkasakan usahawan mikro berpendapatan rendah, membimbing mereka ke arah mencapai daya tahan kewangan,” jelasnya.
-NIAGATIMES