Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) menyambut baik peruntukan subsidi sebanyak dua peratus yang diberikan kerajaan kepada Dana Tabung Pelancongan PKS dengan tekad melaksanakan program berkenaan tanpa mengabaikan kaedah penilaian kredit berhemat serta pembiayaan yang lebih strategik.
Berikutan itu, institusi kewangan tersebut kini merancang pelan susulan Belanjawan 2019 sebagai persediaan sokongan memantapkan lagi usaha mereka membantu usahawan dengan beberapa langkah penambahbaikan.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, pelbagai tawaran produk pembiayaan dan khidmat latihan khususnya kepada usahawan-usahawan yang bersedia untuk menjadi pengeksport akan dilaksanakan sebaik mungkin.
“Selain daripada pembiayaan, SME Bank akan memberi fokus kepada program pembangunan kapasiti menerusi penyediaan latihan keusahawanan dan program-program pembangunan bagi menyediakan para pelanggan kami menghadapi segala cabaran dan juga peluang yang mendatang bersama-sama dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu lagi, SME Bank juga sedang menimbang untuk memperkenalkan jam latihan wajib untuk memperkukuhkan keupayaan usahawan secara berterusan dan sistematik di dalam pengurusan kewangan, pengurusan risiko, teknologi kewangan (Fintech) dan lain-lain.