SME Bank sambut ulang tahun ke-10 CEDAR, lancar Program Pembangunan Perusahaan Sosial

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) hari ini meraikan Ulang Tahun ke-10 anak syarikat milik penuhnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR), dan juga melancarkan Program Pembangunan Perusahaan Sosial SME Bank yang terdiri daripada dua inisiatif daripada Belanjawan 2023 berjumlah RM21 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, usaha berterusan SME Bank untuk memajukan lagi usahawan PMKS melalui CEDAR merupakan bukti bahawa SME Bank sedar dan prihatin terhadap keperluan usahawan, selain daripada pembiayaan.

“KUSKOP mengiktiraf bahawa kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh CEDAR amat diperlukan dalam memacu pencapaian sektor ini.

“Dengan itu, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa KUSKOP telah memberi kepercayaan kepada CEDAR untuk menerajui beberapa program pembangunan kapasiti keusahawanan bagi tahun 2023 dengan jumlah dana bernilai RM11.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, Ewon turut menyatakan sokongan seperti pembiayaan, akreditasi dan program peningkatan kemahiran terhadap pembangunan perusahaan sosial (SE) perlu dinormalisasi dan diarus perdana.

“Saya berharap aspirasi kerajaan untuk memperkasakan PMKS termasuk perusahaan sosial dapat disampaikan dengan baik melalui kerjasama erat dan inisiatif berterusan antara KUSKOP dan agensinya.

“Adalah penting agar nilai positif yang didorong oleh SE disampaikan dengan jelas kepada orang awam serta penyedia dana dan pelabur, bagi mewujudkan keyakinan kepada mereka untuk terus menyokong pertumbuhan SE,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Aria Putera Ismail berkata, CEDAR telah menyokong aspirasi melangkaui pembiayaan SME Bank dan telah memanfaatkan lebih 75,000 orang peserta sejak ditubuhkan.

“Manfaat ini termasuklah 460 program bimbingan berasaskan penyelidikan, program pemudah cara berasaskan fungsi, dan program bimbingan yang memberi fokus kepada usahawan,” ujarnya.

-NIAGATIMES

kredit-foto-KUSKOP.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.