SME Bank sasar 100 peserta B40 menerusi program TVET Zero to Hero 3.0

SME Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) melancarkan program Zero to Hero 3.0 dengan menyasarkan penyertaan 100 individu daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi meningkatkan kemahiran teknikal serta membuka peluang pekerjaan dalam sektor perindustrian.

Program dengan kerjasama GIATMARA Sdn Bhd dan Zurich General Takaful Malaysia Berhad itu mendapat pengiktirafan Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah inisiatif iTEKAD Employment yang diperkenalkan pada 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, program berkenaan menyediakan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang kimpalan serta fabrikasi logam, selain pendedahan industri, pendidikan kewangan dan bantuan penempatan pekerjaan.

Beliau berkata, dua pelaksanaan terdahulu pada 2022 dan 2024 berjaya membantu kesemua 90 peserta mendapatkan pekerjaan, masing-masing melibatkan 30 dan 60 individu.

Menerusi edisi ketiga, peserta dijangka memperoleh pendapatan bulanan antara RM1,800 hingga RM6,000 bergantung kepada pekerjaan yang diceburi.

“Zero to Hero 3.0 menyediakan laluan praktikal kepada komuniti kurang mendapat akses pekerjaan untuk memperoleh kemahiran teknikal yang diperlukan industri, sekali gus membina kerjaya lebih stabil dan mampan,” katanya.

GIATMARA selaku rakan pelaksana akan menguruskan pemilihan peserta, menyediakan latihan berasaskan kompetensi, pensijilan industri serta penyelarasan penempatan pekerjaan, termasuk memantau perkembangan peserta sepanjang program.

Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Datuk Ts. Ahmad Hamdi Ibrahim berkata, pendekatan latihan praktikal dan pensijilan yang diiktiraf industri akan membantu melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang memenuhi keperluan sektor perindustrian negara.

Sementara itu, Zurich General Takaful Malaysia akan menyediakan pembiayaan program, perlindungan takaful selama setahun serta pendidikan kewangan bagi membantu peserta menguruskan kewangan dengan lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Azman berkata, kerjasama itu menggabungkan pembangunan kemahiran, perlindungan kewangan dan sokongan industri bagi membina daya tahan ekonomi peserta dalam jangka panjang.

Sejak diperkenalkan pada 2020, inisiatif iTEKAD telah memanfaatkan lebih 14,000 usahawan mikro berpendapatan rendah dengan penyaluran dana kewangan sosial melebihi RM94 juta serta pembiayaan dan pelaburan kira-kira RM77 juta.

Inisiatif itu turut menyumbang kepada pewujudan lebih 2,400 peluang pekerjaan di seluruh negara.

SME Bank pula menerusi program SME Bank iTEKAD ISHRAF telah membantu hampir 1,000 usahawan asnaf sejak 2020, dengan peserta menjana pendapatan terkumpul kira-kira RM40 juta serta mewujudkan lebih 400 peluang pekerjaan.

Program Zero to Hero 3.0 akan dilaksanakan sepanjang tempoh 2026 hingga 2027, selaras usaha memperkukuh pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi inklusif negara.

-NIAGATIMES

Giatmara-SMEBank-Zurich-Takaful.jpg