SME Bank menyasarkan 400 orang usahawan asnaf akan dibimbing melalui program SME Bank iTekad Ishraf yang dilancarkan pada hari ini dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan enam lagi rakan strategik program.
Program Keusahawanan Asnaf yang sebelum ini dikenali sebagai Program Ishraf SME Bank, telah dijenamakan semula menjadi Program SME Bank iTekad Ishraf setelah diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai inisiatif yang seiring dengan objektif Program kewangan sosial, iTekad yang dinaungi BNM.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya sangat optimis apabila melihat jumlah penyertaan telah dinaikkan lebih lima kali ganda daripada hanya 79 orang untuk Program Ishraf 2.0 ke 400 orang bagi siri ketiga ini.
โBerpandukan objektif untuk melahirkan usahawan asnaf yang lebih kompetitif dan berdaya tahan, program SME Bank iTekad Ishraf ini adalah yang seiring dengan pelan strategik KUSKOP 2023 untuk memberi fokus terhadap pemulihan, pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan dan koperasi agar lebih berdaya maju dan boleh beradaptasi dengan perubahan.
โDi samping ini, program ini juga menyokong konsep Malaysia Madani yang menjadi kompas untuk kita maju ke hadapan,โ katanya.
Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr Haji Mohd Naโim Haji Mokhtar berkata, Program SME Bank iTekad Ishraf yang dilaksanakan dengan kerjasama YaPEIM di bawah Program Inspirasipreneur Dream dan rakan strategik yang lain, kini tepat pada masanya dalam membantu meningkatkan taraf sosioekonomi usahawan asnaf untuk berdiri sendiri dan bertahan dalam kehidupan masing-masing.
โSaya berpandangan sekiranya usahawan asnaf ini yang berjaya dibantu pastinya mereka dapat membantu pula golongan asnaf yang lain di samping menjadi model atau contoh kepada asnaf lain untuk berjaya seperti mereka kelak,โ ujarnya.
Program SME Bank iTekad Ishraf telah dilaksanakan dengan sokongan daripada Kementerian Kewangan Malaysia melalui BNM, YaPEIM, Etiqa Family Takaful, Etiqa General Takaful, Bank Islam Malaysia Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan FGV Holdings Berhad.
-NIAGATIMES