SME Bank sasar lahirkan pengeksport bumiputera melalui Business Exports Programme

Agensi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), SME Bank telah melancarkan Business Exports Programme (BEP) untuk melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan PKS pengeksport bumiputera melalui peruntukkan dana sebanyak RM30 juta oleh MEDAC bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2025.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, usahawan PKS bumiputera wajar merebut peluang untuk memastikan mereka mampu memperluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa melalui program BEP ini.

“Melihat kepada potensi usaha ini dan kejayaan yang dicapai sebelumnya, MEDAC telah membuat keputusan untuk menambah peruntukkan daripada RM10 juta ke RM30 juta untuk SME Bank melaksanakan program BEP ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, sebanyak 29 buah syarikat di mana 18 daripada sektor pembuatan dan 11 daripada sektor perkhidmatan telah terpilih untuk menyertai BEP setakat ini.

“Melalui aktiviti intervensi yang berstruktur, mereka akan dibimbing dan diselia berdasarkan enam parameter iaitu pengeluaran atau teknikal, kewangan, tenaga kerja, keperluan eksport, pemasaran serta standard dan peraturan.

“Program BEP ini dilaksanakan dengan kerjasama Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) sebagai rakan strategik,” ujarnya.

Tambah Aria, keenam-enam parameter ini akan membantu usahawan PKS yang terlibat menyediakan syarikat, produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi permintaan serta piawaian yang perlu untuk memasuki pasaran antarabangsa.

“Selain itu, SME Bank turut memberikan latihan keusahawanan percuma yang komprehensif melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) agar mereka dapat bertahan,” jelasnya.

Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan perkembangan positif bagi nilai dagangan eksport bagi separuh tahun pertama melonjak 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion.

-NIAGATIMES

BEP-SME-Bank.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.