SME Bank sedia salur inisiatif RM900 juta bantu PKS kembangkan perniagaan

Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan berpeluang meningkatkan penyertaan mereka dalam aktiviti pembangunan negara dengan skala yang lebih besar melalui inisiatif pendanaan ekuiti dan ‘quasi-equity’ dengan dana bernilai RM600 juta.

Pendanaan yang diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama TERAJU dan Bank Simpanan Nasional itu telah diumumkan oleh Menteri Kewangan semasa pembentangan Bajet 2022, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, SME Bank juga akan memperuntukkan dana bernilai RM200 juta di bawah inisiatif IBS Promotion Fund (IBS 2.0) dan RM100 juta di bawah program Pembiayaan Usahawan Muda (YEF2.0) untuk terus membantu golongan sasaran mengembangkan perniagaan masing-masing serta memastikan mereka tidak ketinggalan dalam era pembangunan semula negara pasca Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, “Inisiatif di dalam Bajet 2022 yang melibatkan SME Bank ini adalah bukti kepentingan fungsi yang dimainkan oleh SME Bank sebagai sebuah Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) yang terlibat secara langsung dalam agenda pembangunan negara.”

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank , Aria Putera Ismail berkata, “SME Bank menyambut baik semua inisiatif yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022 dan kami telah bersedia untuk melaksanakan mandat yang telah diamanahkan iaitu membimbing dan mengembangkan sektor PKS negara.”

Secara khususnya, SME Bank akan bekerjasama secara dekat dengan Bank Negara Malaysia untuk membantu usahawan PKS melalui dana-dana di bawah seliaannya seperti ‘Business Recapitalisation Fund’ (BRF) dan ‘Low Carbon Transition Facility’ yang masing-masing bernilai RM1 biliion serta dana sedia ada bernilai RM11.2 bilion seperti ‘Targeted Relief and Recovery Facility’, ‘Automation and Digitilisation Fund’, ‘High Tech Facility-National Investment Aspirations’ dan lain-lain lagi.

-NIAGATIMES

Usahawan-SME-Bank.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.