SME Bank: Skim Pembiayaan Lestari Bumi untuk usahawan kecil dan mikro

SME Bank telah melancarkan Skim Pembiayaan Lestari Bumi khusus bagi membantu membangunkan usahawan mikro dan kecil melalui peruntukan pembiayaan sebanyak RM300 juta untuk membolehkan mereka meningkatkan kapasiti pengeluaran, meluaskan akses pasaran dan menjadikan perniagaan mereka lebih mampan dan berdaya saing.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, skim tersebut hadir tepat pada masanya memandangkan usahawan mikro dan kecil negara sangat terkesan dengan impak pandemik Covid-19.

“Terdapat hampir dua juta perniagaan kecil dan tidak formal yang masih lagi belum berdaftar di seluruh negara dan lebih 92 peratus usahawan di negara ini memerlukan bantuan kewangan bagi menceburi perniagaan baharu.

“Saya menyeru agar mereka mendaftarkan perniagaan mereka dengan pihak yang berwajib demi memastikan kehadiran mereka dapat dilihat oleh kerajaan dan seterusnya bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan seperti SME Bank,” katanya sewaktu pelancaran Skim Pembiayaan Lestari Bumi di Hotel The Majestic Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, skim berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan sewaktu pembentangan Belanjawan 2021.

“Melalui skim ini, usahawan boleh memohon pembiayaan bagi modal kerja dan pembelian aset dengan jumlah pembiayaan bermula dari RM100,000 hingga RM750,000.

“Ini semestinya akan membolehkan usahawan-usahawan mikro dan kecil ini meningkatkan perniagaan mereka kepada tahap yang lebih tinggi,” jelasnya.

-NIAGATIMES

Skim-SME-Bank.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.