SME Bank telah mengambil keputusan memberi penangguhan bayaran selama enam bulan kepada 59 orang pelanggannya yang terkesan dengan bencana banjir melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM146 juta di bawah Program Bantuan Banjir SME Bank.
Selain itu, SME Bank juga telah menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM100,000 melalui kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Islamic Relief Malaysia (IRM).
Menteri MEDAC, Tan Sri Noh Haji Omar berkata, tempoh tamat penangguhan bayaran untuk kesemua 59 orang usahawan yang layak ini adalah pada bulan September 2022 dan bilangannya mungkin akan bertambah berdasarkan pelanggan yang berpotensi akan terjejas sekiranya berlaku lagi bencana banjir di masa terdekat.
โDi samping itu, SME Bank turut memberikan pengecualian bayaran sewa melibatkan 41 unit kilang usahawan PKS di Kompleks Premis Usahawan SME Bank Shah Alam yang turut terlibat dalam bencana ini. Inisiatif pengecualian bayaran sewa yang berjumlah RM230,000 ini adalah untuk tempoh selama dua bulan bermula Januari 2022 hingga Februari 2022.
โProgram Bantuan Banjir SME Bank ini telah dibuka dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Mac 2022. Oleh itu, saya menggesa semua pelanggan SME Bank yang memerlukan bantuan disebabkan banjir untuk tampil ke hadapan dan menghubungi pihak SME Bank dengan kadar segera,โ katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pe gawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, pihaknya bukan sahaja telah menghantar sukarelawan bagi membersihkan beberapa buah rumah, malah turut membuat kutipan barangan keperluan harian dan pakaian yang diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.
โSelain sumbangan wang tunai dan barangan serta menyediakan penangguhan bayaran kepada PKS dan juga pengecualian sewa kepada penyewa di Kompleks Premis Usahawan SME Bank, anak syarikat kami, Centre For Entrepreneur Development And Research Sdn. Bhd. (CEDAR) turut bersedia untuk menyalurkan khidmat nasihat tentang penstrukturan semula rancangan perniagaan serta lain-lain latihan pembangunan usahawan yang bersesuaian bagi membolehkan usahawan kembali beroperasi sejurus keadaan kembali pulih,โ ujarnya.
-NIAGATIMES