SME Bank Xcess buka laluan PMKS rentas sempadan

SME Bank membawa kelainan untuk Program Jaringan SME Bank XCESS 2022 dengan membuka peluang kepada usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan menembusi pasaran antarabangsa melalui penglibatan rakan dagangan dari Thailand, Jepun serta akses untuk ke pasaran ASEAN melalui platform dalam talian, ASEAN Access.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan membawa masuk rakan dagangan luar negara adalah langkah yang tepat dan semua PMKS yang menyertai SME Bank XCESS 2022 ini harus merebut peluang ini untuk memasuki pasaran baru dengan lebih cepat dan berkesan.

“Tambahan pula, platform dalam talian ASEAN Access akan memberi saiz pasaran yang amat luas untuk usahawan PKS negara terokai,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

SME Bank XCESS 2022 diisi dengan empat teras tambahan iaitu akses kepada pembiayaan dan program-program pembangunan usahawan serta perkhidmatan menyeluruh yang ditawarkan oleh Kumpulan SME Bank.

Ini termasuk Assets Link, Perkhidmatan Takaful dan HalalXcess di samping Program Umbrella SME Bank dan Program Pembangunan Vendor Bumiputera yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Semua agensi di bawah KUSKOP turut membuka reruai untuk perkhidmatan yang ditawarkan.

Sementara itum Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail berkata, Program Umbrella adalah satu bentuk kerjasama antara SME Bank dan syarikat Anchor untuk membolehkan usahawan yang berminat menyertai suatu model perniagaan yang telah pun bertapak kukuh dalam pasaran sekali gus meminimumkan risiko kegagalan perniagaan.

“Peserta program akan dibiayai oleh SME Bank, dan turut berpeluang mendapatkan bimbingan serta khidmat nasihat secara percuma oleh CEDAR,” jelasnya.

Pada tahun ini, SME Bank menyasarkan seramai 5,000 orang pengunjung akan ke portal maya SME Bank XCESS 2022 dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,000 orang usahawan akan menyertai aktiviti padanan perniagaan, klinik perniagaan, khidmat nasihat dan lawatan ke reruai syarikat-syarikat Anchor.

-NIAGATIMES

Majlis-Perasmian-XCESS-2022.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.