Seiring dengan perkembangan perniagaan e-dagang sewaktu pandemik dan disokong dengan peningkatan pendapatan e-dagang tahun 2020 sebanyak 32.7 peratus, SME Bank telah mengambil keputusan untuk mengubah hala tuju penganjuran Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2020.
Penganjuran edisi kali ini memberi fokus kepada platform e-dagang untuk melahirkan generasi e-usahawan muda yang cekap dalam menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan dalam talian melalui media sosial.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pendekatan berbeza yang dilaksanakan SME Bank bukan sahaja mengikut trend semasa, malah turut menyumbang kepada sasaran RMK-12 iaitu mencapai sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025.
“Pertandingan perniagaan peringkat sekolah menengah ini menjadi serampang dua mata apabila ia turut membantu negara mencapai hasrat untuk membentuk bangsa usahawan di kalangan belia dan seterusnya mencapai aspirasi Keluarga Malaysia yang kita perjuangkan sekarang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, respons terhadap penganjuran SME Bank Y-Biz Challenge kali ini lebih memberangsangkan walaupun hanya diadakan secara dalam talian.
“Walaupun pertandingan secara fizikal terpaksa ditunda beberapa kali kerana penularan wabak Covid-19, program SME Bank Y-Biz Challenge 2020 telah mendapat sambutan yang baik apabila mencatatkan peningkatan pendaftaran hampir 38 peratus daripada sasaran awal iaitu sebanyak 20 peratus dengan 151 buah sekolah menyertainya berbanding hanya 113 di edisi terdahulu,” katanya.
Juara Program SME Bank Y-Biz Challenge 2020 ini jatuh kepada Kumpulan Suchi Rangers dari Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan, Perak dengan produk Cattapa, produk rawatan organik untuk pertanian.
Manakala, gelaran naib juara menjadi milik Green Box Team dari SMK St. Teresa, Sarawak yang mengetengahkan produk Green Box, sebuah generator lampu tanpa wayar dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Kumpulan Triumph Legacy dari SMK Kuala Nerang, Kedah dengan produk MYCRISP, snek yang diperbuat dari daun moringa.
-NIAGATIMES