SME Corp bangunkan komuniti B40 menerusi perniagaan inklusif

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SME Corp Malaysia (SME Corp) akan melaksanakan projek rintis bagi pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Rantaian Nilai Perniagaan Inklusif (IB-VCDI).

Bagi tujuan ini, SME Corp. Malaysia telah melantik empat Syarikat Prinsipal Inclusive Business (IB) yang terdiri daripada syarikat tersenarai awam dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Pra-permulaan bagi projek rintis Inisiatif Pembangunan Rantaian Nilai Perniagaan Inklusif (IB-VCDI) ini telah diadakan bersempena Majlis Perasmian Program Jelajah Usahawan Inklusif (JUI) 2022 Zon Tengah yang telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Suriani Ahmad di Platinum Sentral Kuala Lumpur.

Beliau berkata, usaha SME Corp bagi mempromosikan model Perniagaan Inklusif (IB) dalam mengintegrasikan perusahaan mikro dan komuniti inklusif dalam rantaian nilai atau rantaian bekalan syarikat bersaiz besar atau PKS ini hanya dapat dilaksanakan kerana adanya Syarikat Prinsipal IB yang begitu komited dan pada masa yang sama juga berpengaruh dalam sektor perniagaan masing-masing.

“Secara kolektif, sejumlah 101 orang penerima manfaat dalam kalangan usahawan mikro dan komuniti inklusif disasarkan untuk dibantu menerusi pembiayaan geran bernilai RM450,000 oleh SME Corp untuk diintegrasikan ke dalam rantaian nilai keempat-empat Syarikat Prinsipal IB ini,” ujarnya.

Syarikat Prinsipal IB yang dilantik ialah Farm Fresh Berhad, Serai Malaya Sdn Bhd, Pepper Labs Sdn Bhd dan Mostwell Sdn Bhd.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, projek rintis IB-VCDI sedang dalam proses pelaksanaan bermula pada Jun 2022 dan dijangka selesai dilaksanakan pada November 2022.

“Projek rintis ini bertujuan untuk membangunkan perusahaan mikro serta komuniti inklusif berpotensi termasuk B40, wanita, belia, OKU, Orang Asli dan sebagainya bagi menjana pendapatan secara diintegrasikan dalam rantaian nilai atau rantaian bekalan,” jelasnya.

-NIAGATIMES

KREDIT-FOTO-KUSKOP.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.