SME Corp buka permohonan program pembangunan PMKS tahun 2026

Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini boleh mengemukakan permohonan bagi menyertai program pembangunan PMKS tahun 2026 yang dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

SME Corp Malaysia dalam satu sesi libat urus bersama pemain industri memaklumkan bahawa RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 memberi tumpuan kepada agenda penskalaan perniagaan, khususnya usaha menaik taraf PMKS daripada kategori mikro kepada kecil dan seterusnya sederhana.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM117 juta kepada agensi itu bagi melaksanakan lapan program strategik yang menekankan pertumbuhan tinggi serta keterangkuman PMKS.

“Penskalaan PMKS merupakan antara keutamaan kerajaan dalam merancakkan ekonomi negara dan membina ekosistem perniagaan yang lebih mampan serta berdaya saing. Sasaran kami adalah untuk meningkatkan peratusan firma sederhana daripada 1.6 peratus kepada lima peratus menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata peningkatan itu dijangka mampu melonjakkan sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga RM1 trilion dalam tempoh berkenaan.

Rizal berkata demikian ketika sesi perkongsian bersama PMKS serta wakil persatuan dan dewan perniagaan sempena program Hari Terbuka@Hab PMKS yang berlangsung di SME Corp Malaysia, Platinum Sentral, baru-baru ini.

Hari Terbuka@Hab PMKS merupakan antara inisiatif SME Corp Malaysia untuk memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan sehenti bagi maklumat dan khidmat nasihat berkaitan pembangunan PMKS.

Sejak diperkenalkan pada Januari 2024, inisiatif berkenaan telah memberi manfaat kepada lebih 100 PMKS setiap bulan menerusi kerjasama strategik melibatkan kementerian, agensi kerajaan serta sektor swasta.

Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi SME Corp Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) William Ng serta Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Mohd Azamanizam Baharon.

Turut hadir wakil Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Peniagawati) serta beberapa persatuan dan dewan perniagaan lain.

PMKS yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai program di bawah RMK13 boleh melayari laman sesawang rasmi SME Corp Malaysia atau mengunjungi Hab PMKS di ibu pejabat serta 12 pejabat negeri di seluruh negara.

-NIAGATIMES

Rizal-Nainy-FOTO-SME-Corp-1.jpg