Program pembiayaan baharu sedang giat dilaksanakan, bukan sekadar untuk memberi pinjaman tetapi turut menawarkan ganjaran menerusi Program Pembiayaan Alternatif BAP 2025 oleh SME Corp. Malaysia (SME Corp).
Sebanyak RM35 juta telah diperuntukkan bagi skim ini yang menawarkan pembiayaan berlandaskan syariah sehingga RM400,000 kepada PKS yang layak, pada kadar keuntungan kompetitif 3.5% setahun, dengan kemungkinan sehingga 40% daripada pembiayaan tersebut ditukar kepada geran.
microLEAP, sebuah platform Pembiayaan P2P (Peer-to-Peer) patuh syariah yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), telah dilantik sebagai pengantara pembiayaan di bawah program ini. Dengan tambahan peruntukan daripada SME Corp, jumlah dana yang diperuntukkan di bawah kerjasama dengan microLEAP sejak 2021 kini mencecah RM70 juta.
Ia mencerminkan kerjasama yang semakin matang berasaskan matlamat bersama: memperkasa pertumbuhan PKS, memperkukuh keterangkuman kewangan serta menyediakan pilihan alternatif pembiayaan, khususnya bagi perniagaan yang kurang mendapat akses daripada pemberi pinjaman tradisional.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan platform pembiayaan inovatif seperti microLEAP dalam menawarkan penyelesaian yang melangkaui pinjaman tradisional.
“Program ini mencerminkan komitmen kami untuk menilai semula sokongan kepada PKS, bukan sekadar melalui pembiayaan, tetapi dengan mengintegrasikan insentif yang mengiktiraf disiplin kewangan dan pertumbuhan perniagaan.
Dengan membolehkan penukaran sehingga 40% kepada geran, kami bukan sahaja mengurangkan beban bayaran balik, malah melabur secara langsung dalam masa depan PKS berpotensi tinggi di Malaysia yang bersedia untuk berkembang, sejajar dengan sasaran kami untuk meningkatkan bilangan perusahaan kecil menjadi sederhana daripada 1.6% kini kepada 5% menjelang 2030,” ujarnya.
Program ini menawarkan bantuan untuk modal kerja dan penambahbaikan perniagaan, termasuk pembelian mesin dan peralatan, penerapan ESG, pensijilan produk, pengiklanan dan promosi, serta penerapan ICT. Hanya PKS dengan rekod pembayaran balik yang baik layak memohon penukaran geran sehingga 40% daripada pembiayaan mereka, tertakluk kepada kelulusan SME Corp.
-NIAGATIMES






















































