SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) melaksanakan Program Soft Landing (SLP) di United Kingdom sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kesediaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Program yang berlangsung dari 10 hingga 18 Disember 2025 itu dianjurkan bersama Swansea University, United Kingdom, dengan penglibatan sembilan PKS Malaysia berpotensi tinggi dalam ekosistem francais.
United Kingdom dipilih sebagai destinasi strategik kerana kedudukannya sebagai pintu masuk utama ke pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.
Sepanjang program tersebut, peserta didedahkan kepada landskap perniagaan global termasuk amalan perdagangan antarabangsa, pengurusan rantaian bekalan global, serta peluang jaringan bersama pembuat keputusan utama dan pemain industri antarabangsa.
Pendedahan ini turut merangkumi pemahaman terhadap operasi di platform perdagangan global dan sokongan ekosistem perniagaan antarabangsa.
Dalam usaha memperkukuh kerjasama jangka panjang pembangunan PKS, SME Corp. Malaysia dan Swansea University turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi pelbagai bidang strategik.
Antaranya ialah pembangunan keusahawanan, penyelidikan dan perkongsian ilmu, program mobiliti dan immersion, inisiatif akses pasaran, inovasi serta pemindahan teknologi, selain kajian dasar berkaitan ekosistem PKS.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy, berkata MoU tersebut mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam membina kerjasama tersusun dan strategik bagi meningkatkan daya saing serta tahap kesediaan pengantarabangsaan PKS Malaysia.
“Kerjasama ini membuka ruang kepada pembangunan keusahawanan yang lebih holistik melalui perkongsian kepakaran, mobiliti antarabangsa dan akses pasaran yang lebih luas,” katanya.
MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Rizal dan Pro-Naib Canselor Swansea University, Ryan Murphy, dengan majlis pertukaran dokumen diadakan di Swansea University, baru-baru ini. Swansea University turut diwakili oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Antarabangsa), Fakulti Sains Kemanusiaan dan Sains Sosial, Dr. Fiona Jordan.
SME Corp. Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pertumbuhan dan peluasan perniagaan PKS tempatan ke peringkat global menerusi kerjasama strategik dan program pendedahan antarabangsa yang bersasar, selaras dengan agenda nasional melahirkan perusahaan yang berdaya tahan dan berdaya saing di pasaran dunia.
-NIAGATIMES






















































