SME Corp reka strategi Pelan Induk PKS 2.0

Faktor perubahan ekonomi moden yang semakin pesat menunjukkan perlunya ada perancangan daripada pihak kerajaan untuk melakukan satu anjakan paradigma khusus buat usahawan bagi membolehkan mereka terus bersaing dalam pasaran berteknologi tinggi dan arus globalisasi masa kini.

Tidak teragak-agak melakukan perubahan, SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan sebenarnya telah merangka perancangan untuk melaksanakan visi baharu bagi memacu pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selepas tahun 2020.

Timbalan Ketua Eksekutif (I) SME Corp, Rizal Nainy berkata, pelan jangka panjang yang dikenali sebagai Pelan Induk PKS 2.0 itu nanti akan melakar beberapa strategi keusahawanan dan pembangunan PKS bagi meningkatkan keupayaan usahawan dalam aspek perubahan demografik, ekonomi dan landskap perniagaan pada masa akan datang.

“Pelan induk sedia ada tetap diteruskan sehingga 2020. Kemudian, barulah Pelan Induk PKS 2.0 akan mengambil alih pada 2021. Kita juga akan melakukan pelarasan PKS dalam pelan tersebut bagi persediaan berdepan Revolusi Industri 4.0 kelak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SME Corp, semalam.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.