SME Corp teruskan program TUBE di bawah inisiatif PENJANA

SME Corp. Malaysia (SME Corp) akan meneruskan pelaksanaan Progam Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang melibatkan dana tambahan berjumlah RM20 juta.

SME Corp dalam satu kenyataan berkata, pendekatan latihan TUBE yang dilaksanakan secara dalam talian pada tahun ini memakan tempoh latihan yang lebih singkat iaitu tujuh hari, modul latihan diolah sebaik mungkin supaya jelas, mudah difahami dan boleh dipraktikkan terus selepas peserta menamatkan latihan.

“Di bawah inisiatif PENJANA ini, keutamaan adalah kepada pemohon yang telah diberhentikan kerja namun berminat menjalankan perniagaan sebagai kerjaya sepenuh masa.

“Sejumlah 250 peserta disasarkan untuk dilatih menggunakan dana di bawah inisiatif ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program TUBE telah berjaya melatih seramai 5,766 belia bumiputera yang mana 4,952 iaitu 99 peratus daripadanya telah memulakan operasi perniagaan dalam pelbagai bidang sehingga kini.

“Program TUBE juga telah mencatatkan jualan terkumpul berjumlah RM127.17 juta dan mewujudkan 10,540 peluang pekerjaan baharu termasuk untuk peserta program TUBE itu sendiri,” jelasnya.

Belia yang berminat untuk menjadi usahawan boleh memohon program ini sebelum tarikh tutup permohonan pada 25 Oktober 2020 melalui laman sesawang tube.smecorp.gov.my.
-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.