SME Mart mampu lonjakkan perniagaan usahawan IKS

Penubuhan pusat sehenti SME Mart yang baru sahaja dilancarkan berupaya menjadi medan terbaik bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk memasarkan produk masing-masing yang dilihat bukan sahaja berpotensi mendapat sambutan di pasaran tempatan bahkan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, usahawan IKS seharusnya menggunakan peluang yang diberikan bagi membolehkan produk masing-masing dapat berkembang di pasaran.

“SME Mart akan menjadi pusat pengumpulan barang dan ia dapat membantu usahawan ini keluar dari kepompong kemiskinan dan menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran SME Mart Mart yang berlangsung di Taman Tasik Shah Alam, baru-baru ini.

Usahawan IKS di seluruh negara diseru agar merebut peluang keemasan ini dengan menyertai aktiviti perniagaan bersama-sama SME Mart memandangkan seramai 1,230 pengusaha yang terlibat dalam bidang seperti kraf tangan, makanan dan minuman sudah mula mengorak langkah terlibat dalam platform tersebut.

SME Mart yang dikendalikan sepenuhnya oleh Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia (DEUM) menyasarkan 15,000 usahawan IKS dengan pembukaan 60 cawangan lain termasuk Sabah dan Sarawak dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun nanti.

SME Mart cawangan Shah Alam dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dan mana-mana usahawan IKS yang berminat menyertainya boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan mengunjungi pusat sehenti berkenaan.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.