Acara SME Venture@ASEAN 2025 anjuran SME Corp Malaysia melabuhkan tirainya dengan mencatatkan potensi jualan sebanyak RM520 juta hasil daripada 424 sesi padanan perniagaan yang berlangsung sepanjang tiga hari penganjurannya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.
Acara berkenaan yang diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai Acara Perdagangan PKS ASEAN Terbesar 2025 berjaya menarik seramai 13,850 pengunjung dan menghimpunkan 364 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta 60 pembeli tempatan dan antarabangsa.
Antara pembeli utama yang terlibat termasuk Mydin Mohamed Holdings, Aeon Co M Berhad dan UDA Holdings Mari Mart dan KIRANA serta syarikat luar negara seperti Autel Robotics China, Jiuhua Century Investment Limited Hong Kong dan Karl Group Holdings Corporation Filipina.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kejayaan acara ini membuktikan peranan penting PKS dalam merancakkan ekonomi serantau dan menembusi pasaran antarabangsa.
“KUSKOP dan SME Corp Malaysia komited untuk memperkasa keupayaan PKS dengan membuka akses pasaran luar negara selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia ke-13 bagi meningkatkan daya saing dan kelestarian,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan.
Acara ini turut menyaksikan sebanyak 370 pempamer termasuk 62 pempamer antarabangsa dari ASEAN, Jerman, Jepun, India, Oman dan Taiwan mempamerkan produk dan perkhidmatan inovatif dalam pelbagai sektor berimpak tinggi.
Sebanyak 19 PKS turut membentangkan cadangan perniagaan mereka kepada pelabur menerusi sesi Pitch2Go, yang berjaya memperoleh pembiayaan dan pelaburan berjumlah RM70 juta daripada syarikat modal teroka, ekuiti swasta dan platform pembiayaan ‘peer-to-peer’.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata acara ini telah mencapai matlamat menghubungkan usahawan, mempromosikan inovasi dan memperkukuh kerjasama ASEAN.
SME Venture@ASEAN 2025 turut menampilkan dua forum utama iaitu Forum ESG dan Forum PKS ASEAN yang menarik penyertaan hampir 500 peserta.
Acara turut disokong oleh rakan strategik termasuk MATRADE, Tourism Malaysia, Malaysia Airlines dan Perodua, dengan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah Perodua Aruz 1.5 AV.
-NIAGATIMES






















































