Solidaridad Network Foundation (Malaysia) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) meraikan sedekad kerjasama strategik dalam memperkukuh amalan pertanian mampan dan pintar iklim dalam kalangan pekebun kecil sawit bebas di negara ini.
Majlis sambutan yang bertemakan ’10 Years of Partnership for Change That Matters’ berlangsung di Le Meridien, Putrajaya dengan kehadiran wakil kerajaan, kor diplomatik serta pemain utama industri sawit.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof yang turut menyampaikan ucaptama serta menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Solidaridad dan MPOB bagi memperkukuh kerjasama institusi pada masa depan.
Acara berkenaan turut menandakan pelancaran rasmi Solidaridad Network Foundation (Malaysia), yang disempurnakan bersama oleh Datuk Yusran Shah, Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner, Pengarah Urusan Solidaridad Asia Shatadru Chattopadhayay, Pengerusi MPOB Datuk Mohd Helmy Othman Basha serta Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Mohd Haris Mohd Arshad.
Antara inisiatif utama yang menjadi tonggak kerjasama sepanjang tempoh tersebut ialah program National Initiative for Sustainable and Climate-Smart Oil Palm Smallholders (NISCOPS) yang diperkenalkan pada 2019 menerusi kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama Kerajaan Belanda.
Program itu memberi tumpuan kepada peningkatan taraf hidup pekebun kecil melalui pengukuhan daya tahan terhadap perubahan iklim, perlindungan hutan dan pengurangan pelepasan karbon.
Memasuki fasa kedua pelaksanaannya pada 2024, NISCOPS kini diperluaskan ke lebih banyak kawasan di seluruh negara.
Sepanjang tempoh pelaksanaan, kerjasama antara Solidaridad, MPOB, sektor swasta dan persatuan pekebun kecil telah menghasilkan beberapa pencapaian utama termasuk melatih lebih 33,000 pekebun kecil bebas di Johor, Perak, Sarawak dan Selangor dalam amalan pertanian mampan dan pintar iklim.
Selain itu, lebih 4,000 pekebun kecil berjaya memperoleh pelesenan sah MPOB, manakala lebih 200 pekebun kecil dibantu menyertai skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Pada masa sama, lebih 3,000 pekebun kecil turut menerima bantuan pendaftaran di bawah program BUDI MADANI (Agro-Komoditi).
Dari sudut dasar, kerjasama tersebut turut menyumbang kepada pembentukan definisi pekebun kecil bebas penebangan hutan (deforestation-free) melalui penglibatan pihak berkepentingan persekutuan dan negeri, selain penubuhan Pasukan Petugas Pemantauan Penebangan Hutan (DMTF).
Sambutan ulang tahun itu turut menampilkan forum industri bertajuk ‘Partnership in Action – Reflections on Challenges and the Way Forward’ yang menghimpunkan wakil kerajaan, industri dan komuniti pekebun kecil bagi membincangkan pencapaian, cabaran serta hala tuju agenda kelestarian sektor sawit negara.
Program diakhiri dengan syarahan video oleh Dr M.H. Mehta dari Continental Supervisory Board (CSB) Solidaridad Network Asia yang menekankan kepentingan tindakan berterusan bagi memastikan amalan kemampanan terus memberi manfaat secara inklusif kepada komuniti pekebun kecil.
-NIAGATIMES




















































