Majlis Anugerah Perniagaan Cemerlang ASEAN (AOBA) kali kelapan yang diadakan baru-baru ini menyaksikan syarikat penganjur konsert ternama tempatan, Star Planet Sdn Bhd telah meraih pengiktirafan tertinggi sebagai Penganjur Konsert Terbaik bagi Master Class ASEAN sekaligus meletakkan mereka sebagai penganjur konsert gergasi di rantau ini.
Penganjuran majlis anugerah berprestij oleh Persekutuan Rantaian Runcit Francais (ARFF) itu turut meraikan 70 penerima anugerah dari negara-negara ASEAN yang lain seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan Filipina mengikut kategori masing-masing dengan penganugerahan telah disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Pengarah Urusan Star Planet, Datuk Alan Foo berkata, kejayaan yang diraih tersebut adalah penanda aras syarikatnya untuk melangkau jauh ke persada antarabangsa selain lebih mempelbagaikan lagi variasi konsert hiburan yang memenuhi cita rasa peminat tempatan serta pengikut di luar negara.
โSejak penubuhan Star Planet pada 2002 sehingga kini, kami giat mempromosikan dan menganjurkan pelbagai genre konsert melibatkan selebriti ternama antarabangsa dengan anggaran keseluruhan telah mencapai kira-kira lebih 130 konsert. Terima kasih diucapkan atas sokongan dan kepercayaan masyarakat sehinggakan kami kini berada di kemuncak.
โSaya menganggap anugerah ini sebagai permulaan Star Planet untuk menjalin kerjasama dan menembusi pasaran Asia Tenggara secara lebih agresif. Buat masa ini, pada tahun hadapan kami merancang untuk memperbanyakkan lagi konsert K-Pop serta menyediakan ruang platform pentas kepada artis-artis tempatan ke luar negara,โ katanya.