Steven Sim garis strategi ABCD perkukuh ekosistem PMKS negara

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menggariskan empat teras strategik dikenali sebagai pendekatan ABCD bagi memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi di Malaysia, selaras mandat kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi rakyat.

Beliau berkata tumpuan utama kementerian di bawah pimpinannya adalah kepada anjakan produktiviti (A), birokrasi dipermudah (B), capaian modal (C) serta daya akses pasaran (D) bagi memastikan PMKS kekal berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

“Ekonomi global dan domestik sedang berdepan pelbagai tekanan. Justeru, kementerian perlu memahami realiti perniagaan semasa dan bertindak secara strategik agar PMKS dan koperasi terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Steven Sim berkata demikian selepas melaporkan diri secara rasmi di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini, susulan rombakan Kabinet pertengahan penggal yang menyaksikan beliau dilantik ke portfolio berkenaan.

Beliau menegaskan rombakan tersebut bukan pertukaran kerajaan, sebaliknya penstrukturan semula dalam pentadbiran sama, dan oleh itu operasi kementerian perlu berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Dalam usaha membuktikan komitmen KUSKOP terhadap agenda pemerkasaan PMKS, Steven Sim mengumumkan tiga keputusan utama yang berkuat kuasa serta-merta.

Pertama, moratorium pembayaran pinjaman tanpa faedah selama enam bulan akan diberikan kepada PMKS dan koperasi yang terjejas akibat bencana banjir di seluruh negara. Moratorium itu melibatkan pembiayaan daripada tujuh agensi di bawah KUSKOP iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia, SME Corp. Malaysia, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Kedua, dana pembiayaan usahawan Bumiputera di bawah TEKUN Nasional akan ditingkatkan daripada RM300 juta tahun ini kepada RM500 juta pada 2026. Pada masa sama, peruntukan Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) akan dinaikkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta, manakala satu skim pembiayaan baharu bernilai RM50 juta khusus untuk PMKS masyarakat Cina akan dilancarkan pada Januari tahun depan.

Ketiga, pengurusan tertinggi KUSKOP diarahkan untuk segera menilai semula semua proses, prosedur serta kos yang melibatkan pemegang taruh, khususnya PMKS dan koperasi, dengan matlamat memendekkan tempoh kelulusan serta mengurangkan kos pemprosesan ke arah persekitaran perniagaan yang lebih mesra dan cekap.

Steven Sim turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin serta seluruh warga kementerian bagi memastikan ekosistem PMKS dan koperasi negara lebih kompetitif dan mampan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri dan Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan atas sumbangan serta kepimpinan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan lalu.

-NIAGATIMES

Steven-Sim-KUSKOP.jpg