Kerajaan terus memperkukuh langkah perlindungan terhadap kepentingan anggota koperasi, khususnya sekiranya berlaku kerugian akibat kecuaian atau salah tadbir urus pihak pengurusan koperasi, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata, di bawah Akta Koperasi 1993 dan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melaksanakan siasatan dan pemeriksaan terhadap aduan yang diterima, terutama melibatkan kelemahan tadbir urus sehingga menyebabkan kerugian kepada koperasi.
“Trend aduan yang diterima menunjukkan penurunan yang konsisten dari tahun ke tahun, mencerminkan peningkatan tahap kesedaran dan pematuhan perundangan dalam kalangan koperasi,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Jerlun, Dr. Haji Abd Ghani Ahmad, di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 823 aduan diterima pada 2023 melibatkan pelbagai kategori, sebelum menurun kepada 689 aduan pada 2024 dan seterusnya berkurang kepada 291 aduan pada 2025.
Daripada jumlah aduan yang diterima pada 2025, sebanyak 266 aduan berjaya diselesaikan manakala baki 25 aduan masih dalam tindakan.
Dalam pada itu, Steven Sim menegaskan KUSKOP memandang serius keperluan melindungi hak dan kepentingan anggota koperasi melalui pengukuhan kerangka kawal selia dan perundangan, pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan tadbir urus koperasi dilaksanakan secara berintegriti dan berteraskan akauntabiliti.
Bagi tujuan itu, beliau berkata Akta Koperasi 1993 menetapkan setiap koperasi wajib memindahkan sekurang-kurangnya 15 peratus daripada untung bersih teraudit setiap tahun ke dalam Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) sehingga jumlahnya mencapai 100 peratus atau lebih daripada syer dan yuran.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh kedudukan kewangan koperasi dan melindungi kepentingan anggota sekiranya koperasi menghadapi kerugian pada masa hadapan,” katanya.
Pada 2025, katanya, sebanyak 5,518 koperasi telah membuat caruman KWRS dengan jumlah keseluruhan caruman mencecah RM12.2 bilion.
Beliau turut memaklumkan bahawa setiap koperasi dikehendaki melaburkan KWRS ke dalam Akaun Deposit Koperasi (ADK) yang ditadbir oleh SKM, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007.
Pendekatan ADK, katanya, bertujuan memastikan kecukupan kecairan rizab KWRS yang boleh digunakan dalam keadaan tertentu tertakluk kepada syarat kegunaan, khususnya bagi penebusan modal syer atau yuran anggota.
Bagi tahun 2025, sebanyak 1,659 koperasi telah mendepositkan KWRS ke dalam ADK dengan nilai keseluruhan deposit berjumlah RM595.8 juta.
Dalam aspek pengukuhan tadbir urus pula, beliau berkata Institut Koperasi Malaysia (IKMa) melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Koperasi (PIMPIN) bagi meningkatkan keupayaan Anggota Lembaga Pengarah dan pengurusan koperasi.
Program itu merangkumi modul berkaitan pengurusan, pentadbiran, kewangan dan akaun, pengurusan strategik, perniagaan serta teknologi maklumat melalui Modul Wajib Asas dan Modul Wajib Program Lanjutan Tadbir Urus Lembaga Koperasi.
“Pada 2025, sebanyak 237 program PIMPIN telah dilaksanakan dengan penyertaan seramai 11,984 peserta,” katanya.
-NIAGATIMES





















































