Steven Sim sertai misi ekonomi ke Jepun, perkasa agenda global PMKS

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong akan menyertai lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Tokyo, Jepun dari 8 hingga 10 Jun ini dalam usaha memperluaskan peluang perdagangan dan pelaburan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu menjadi sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala Malaysia-Jepun selain mempercepat agenda pengantarabangsaan PMKS ke pasaran Asia Timur.

Sempena lawatan berkenaan, KUSKOP dengan kerjasama Bank Rakyat akan menganjurkan program ‘Bank Rakyat BizMatch: Make Malaysian Businesses Great’ yang menghimpunkan komuniti perniagaan Malaysia dan Jepun bagi meneroka potensi kerjasama strategik, perdagangan serta pelaburan baharu.

Program tersebut akan berlangsung bersempena Nikkei Forum Future of Asia 2026, yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, pelabur dan pemain industri utama dari seluruh rantau Asia.

Menurut kenyataan itu, Jepun kekal sebagai antara rakan ekonomi utama Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM142.96 bilion pada 2025, sekali gus menjadikannya rakan dagang kelima terbesar negara di peringkat global.

KUSKOP berkata usaha memperluaskan kehadiran PMKS di Jepun sebelum ini turut mencatat pencapaian memberangsangkan. Pada pameran FOODEX Japan 2026 di Tokyo, sebanyak 31 syarikat dan koperasi Malaysia yang diselaraskan kementerian berjaya merekodkan nilai jualan keseluruhan RM350.8 juta.

Jumlah itu merangkumi RM31.9 juta jualan sebenar dan RM318.9 juta potensi jualan, jauh mengatasi sasaran awal sebanyak RM80 juta. Penyertaan tersebut turut menghasilkan empat memorandum persefahaman (MoU) dan dua memorandum perjanjian (MoA) dengan rakan perniagaan antarabangsa.

Steven Sim berkata pencapaian itu membuktikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan PMKS tempatan mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

Beliau berkata fokus seterusnya adalah membantu lebih banyak syarikat tempatan menembusi pasaran luar negara, meningkatkan eksport serta mengukuhkan kedudukan dalam rantaian bekalan global.

“Apabila syarikat antarabangsa menilai peluang kerjasama dan pelaburan di rantau ini, kita mahu PMKS Malaysia turut berada dalam radar mereka. Akses kepada teknologi, pasaran baharu dan jaringan strategik amat penting bagi mempercepat pertumbuhan perusahaan tempatan,” katanya.

Sepanjang lawatan itu, beliau turut dijadual mengiringi Perdana Menteri dalam beberapa sesi libat urus bersama syarikat-syarikat utama Jepun, pemimpin industri global dan peserta forum ekonomi serantau.

PMKS kini mewakili 96.1 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta merekodkan nilai eksport RM196.8 bilion pada 2024.

-NIAGATIMES

DSAI-StevenSim.jpeg