Suke TV lantik Be Strategic sebagai agensi komunikasi pemasaran bersepadu

Suke TV, rangkaian penyiaran tempatan milikan Datuk AC Mizal yang dilancarkan baru-baru ini, telah melantik Be Strategic, sebuah syarikat tempatan sebagai agensi komunikasi pemasaran bersepadu untuk memacu aktiviti pelancaran dan hubungan masyarakatnya di Malaysia.

Be Strategic akan bekerjasama dengan pasukan pemasaran Suke TV untuk menghidupkan visi jenama rangkaian melalui inisiatif-inisiatif penjenamaan, digital dan sosial, serta perhubungan awam.

Aktiviti pemasaran tersebut bakal dijalankan bagi memperkenalkan kehadiran Suke TV kepada industri Media dan Hiburan (M&E) sebagai sebuah rangkaian penyiaran yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Pengasas dan Pengerusi Suke TV, AC Mizal berkata, Be Strategic memahami keperluan pihaknya dan berjaya mencitrakan inti pati jenama Suke TV, termasuk kisah sejarah di sebalik penubuhan rangkaian mereka.

“Sebagai sebuah pemain baharu, ianya sangat mustahak untuk bekerjasama dengan sebuah agensi yang dapat menawarkan pandangan industri yang mendalam bagi memperkasakan posisi Suke TV dalam industri M&E.

“Keputusan perlantikan Be Strategic adalah cerminan intrinsik kepada misi kami untuk menyokong dan membantu perniagaan tempatan.

“Be Strategic merupakan sebuah agensi tempatan yang menawarkan pengetahuan, pengalaman, kepakaran serta pengiktirafan untuk membawa jenama Suke TV ke khalayak ramai. Kami tidak sabar untuk memulakan persahabatan dinamik ini untuk memacu jenama SUKE ke hadapan,” jelasnya.

Baru-baru ini, Suke TV mengumumkan barisan personaliti yang akan bekerjasama dengan mereka di saluran TV ‘free to air’ (FTA) 24/7 mereka. Antaranya ialah Wak Doyok, Tengku Azura, Maryam Ryzal, Ernie Zakri, Emelda Rosmila dan Syamel.

Sementara itu, pelanggan Be Strategic pula termasuklah Lazada Malaysia, Quill Automobiles, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), UDA Property, dan Castrol Malaysia.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.